Keris ditempa berdasarkan kepandaian seseorang empu. Setiap keris yang dihasilkan pula mempunyai bentuk yang berbeza menandakan asal-usul empunya mahupun di mana keris itu ditempa atau dipakai. Namun, ciri² asas serta anatomi sesebuah keris hampir sama walau berbeza jenisnya.
Berikut adalah gambaran keris dalam keadaan bersarung. Sarung keris juga terkadang disebut sebagai 'pakaian' keris yang terbahagi kepada:
- Hulu
- Pendokok
- Sampir
- Batang Serunai
- Tapak/Kasut/Buntut
Hulu Keris
Hulu keris diperbuat dari bahan yang pelbagai bergantung pada kegunaannya. Keris tempur biasanya berhulu kayu dan keris kebesaran dibuat dari bahan yang lebih mewah semisal Gading, Gigi Paus, Tulang atau logam berharga seperti emas dan perak.
Selain daripada bahan pembuatannya, hulu keris berbeza bentuk dan ukirannya berdasarkan kegunaannya juga. Keris berhulu Tajong misalnya, lebih menunjukkan status kebesaran pemakainya dan tidak sesuai dibawa bertarung.
Setiap hulu keris diukir dengan mengambil ilham daripada sifat atau bentuk haiwan atau objek tertentu. Antaranya hulu Pekaka, Tapak Kuda, Ayam Teleng, Anak Ayam Sejuk, Jawa Demam /Dewa Sejuk dsb.
Pendokok
Pendokok pula selain daripada bertindak sebagai perhiasan, ia juga berfungsi untuk melindungi genggaman tangan pekeris agar tidak terlorot dan menempuh bilah keris yang boleh mencederakan pekeris tersebut.
Sampir
Bahagian sampir, berbentuk seakan-akan perahu, juga berbeza mengikut tempat. Keris dalam gambar di atas misalnya, merupakan keris Malela-Bugis yang mempunyai sampir yang mirip dengan kebanyakan keris Melayu lain, berbeza pula dengan sampir keris 'ladrang' Jawa.
Sampir keris ini juga boleh bertindak sebagai senjata. Ia digunakan sebagai penyangga yang diacukan pada leher musuh, bagi menghalang pergerakannya sebelum ditikam dengan bilah keris.
Batang Serunai
Batang serunai dan sampir ada yang dibuat secara berasingan kemudian dicantumkan, dan ada juga yang dihasilkan secara bersamaan tanpa terpisah dari sampir, semuanya terserah kepada kepandaian seseorang empu keris mahupun pandai kayu yang menghasilkan pakaian keris.
Tapak/Kasut/Buntut
Bahagian tapak, kasut atau buntut keris pula ada yang rata dan ada juga yang bersifat membulat, juga bergantung kepada asal-usul tempat ia dihasilkan.
Anatomi Bilah Keris
Berikut pula anatomi bahagian bilah keris. Bagi keris 'Malela' ini, ciri paling ketara ialah wujudnya alur dan lurah pada bilah yang dikatakan menambah tekanan udara ketika tikaman, sekaligus memastikah darah terpancut lebih banyak dan lebih mematikan.
Perincian Bilah Keris
Berikut pula sedikit perincian pada bahagian bilah, terutama di bahagian Akut yang terdapat kerencaman jenisnya. Akut jenis ini disebut sebagai 'Akut Belalai Gajah'
Kebanyakan bilah keris mempunyai corak yang terhasil akibat proses 'lipatan' bahan logam yang ketika keris ditempa, disebut sebagai 'pamor'.
Kadangkala pamor terhasil ketika proses sepuhan dan ada juga keris yang tidak berpamor. Dan pamor juga terdapat perlbagai jenis.
Bahagian bilah keris, jika dilihat daripada sudut atas bahagian puting, ia berbentuk seakan-akan cicak, yang menjadi sebab mengapa ia dipanggil sebagai 'cicak'.
Demikianlah secara ringkas betapa terperinci dan halusnya kesenian dalam penghasilan keris, sehinggakan setiap sisi keris mempunyai ciri, bentuk dan nama yang khusus yang membezakan identitinya. Terima kasih kerana sudi membaca dan mohon jasa baik mengulang ciap tulisan ini.
Ulangsiar dari Mohammad Faeez Harith
0 comments:
Post a Comment